Tuesday, February 14, 2012

INI SUDAH MEMADAI SEBAGAI BEKALAN HIDUP SEMENTARA DI DUNIA



Inilah Mahar yang mampu saya sediakan, “Kata Ali bin Abi Talib sebaik sahaja Nabi Muhammad s.a.w menerima lamarannya mengahwini Fatimah. Fatimah adalah anak bongsu Nabi Muhammad hasil perkongsian hidupnya dengan Khadijah.

Barang yang diberikan sebagai hantara hanyalah baju besi kegunaannya semasa ke medan perang. Baju besi itu sebenarnya adalah pemberian Nabi Muhammad s.a.w kepadanya suatu masa dahulu.

Sebelum ini, beberapa orang sahabat besar termasuklah Umar dan Abu Bakar sendiri pernah melamar Fatimah tetapi ditolak dengan baik oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Pada hari Jumaat, sepertimana yang ditetapkan, berlangsung perkahwinan antara Fatimah binti Muhammad dengan Ali bin Abu Talib. Semasa itu Fatimah berusia 18 tahun. Pada masa itu, sebagai pengantin, Fatimah mengenakan pakaian terbaik dan tercantik yang dimiliki. Sehelai pakaian yang diperbuat daripada bulu dan melebihi daripada 12 tampalan. Itulah pakaian pengantin Fatimah binti Muhammad. Tanpa manik dan labuci. Apatah lagi, hiasan barangan dan permata berlian.

Keesokan harinya, Nabi Muhammad mengundang Abu Bakar, Umar dan Usamah bagi mengiringi pengantin perempuan kerumah suaminya. Ini adalah antara adapt orang Arab turun temurun. Sebaik sahaja Abu Bakar, Umar dan Usamah tiba di rumah Nabi Muhammad, mereka terkedu memerhatikan beberapa barangan yang dibekalkan kepada Fatimah ke rumah barunya.

Barang-barang itu adalah pengisar tepung, sekeping kulit binatang yang siap dibersihkan, cerek dan sebuah pinggan. Ketiga-tiga mereka memerhati kea rah barang-barang yang terkumpul di sudut rumah. Mereka saling berpandangan dan menahan sebak.

“Inikah barang-barang yang mengiringi puteri tuan ke rumah suaminya?” Tanya Abu Bakar dengan nada sayu. Dia tidak dapat menahan sebak di dadanya.

Nabi Muhammad menoleh kea rah Abu Bakar yang sedang mengesat air matanya. “Ini sudah memadai sebagai bekalan hidup sementara di dunia.”

Dengan perasaan terharu, mereka membawa barang-barang itu. Nabi Muhammad pula memimpin puterinya, Fatimah.

Tiba di rumah Ali, Fatimah dan rombongan dipersilakan masuk dan jamuan sederhana diadakan bagi meraikan majlis perkahwinan mereka. Sebelum Nabi meninggalkan puterinya, Baginda menadah tangan dan berdoa, “Semoga Allah mengampunkan antara kedua-duanya, memberkati merka berdua, memelihara keturunan mereka, memuliakan keturunan mereka, membuka pintu-pintu rahmat, sumber ilmu serta memberi rasa aman sesiapa di sampingnya.”

Doa Nabi Muhammad itu diaminkan oleh semua yang hadir.

Sumber : Indahnya Cinta:Kisah-Kisah Kekasih Allah, oleh Ezee Rahmani.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...